Tuesday, July 21, 2009

Sejarah Ringkas Sekolah Kebangsaan Siong.

Sekolah Kebangsaan Siong (SKS) didirikan dalam tahun1934 Masihi bersamaan 1 haribulan Syaaban 1353 Hijrah. SKS ini pada mulanya dirancang untuk didirikan di Kampung Becah Sawa tetapi oleh kerana beberapa hal yang tidak dielakkan, ia telah dipindahkan ke Kampung Lalang. Sekolah ini didirikan dengan daya usaha Tuan Haji Abdullah Bin Haji Banggul (Ketua), Tuan Penghulu Abu Bakar, Tuan Haji Ahmad Bin Abdul Rahman dengan bantuan, sokongan serta kerja gotong-royong daripada orang ramai, khasnya penduduk Mukim Siong.

Sekolah ini kemudiannya dikenali sebagai Sekolah Rakyat Siong, Baling, Kedah. Sebagai Sekolah Rakyat diperingkat awal penubuhannya, jumlah murid ketika itu ialah seramai 70 orang sahaja (yang terdiri daripada murid lelaki sahaja) dengan 3 orang tenaga pengajar. Mereka ialah Encik Mahmud Bin Haji Jusoh, Encik Yaakob Bin Mahmud dan Encik Musa Bin Ahmad. Pentadbiran sekolah ini diletakkan di bawah Pejabat Pelajaran Negeri Kedah dengan sistem pelajarannya mengikut sistem pelajaran British.

Pada 1 Disember 1950, Sekolah Rakyat Siong telah diambil-alih oleh kerajaan dengan sepenuhnya. Nama sekolah ini ditukarkan nama kepada Sekolah Melayu Siong. Sejajar dengan perkembangan tersebut, guru-gurunya juga terdiri daripada guru-guru kerajaan yang berkelulusan SITC, YUOS dan kelulusan-kelulusan lain.

Pada 1 Januari 1959, sebuah bangunan tambahan berbentuk “L”, telah didirikan. Bangunan ini didirikan dengan daya usaha Ahli-ahli Lembaga Pengurus, iaitu Yang Berhormat Dato’Shafie Bin Haji Abdullah, Guru Besar dan sokongan serta kewangan daripada seluruh penduduk Mukim Siong. Jumlah kutipan yang dapat dipunggut ialah sebanyak $13,004.30 sen iaitu $2,004.30 sen daripada kutipan rakyat, $5,000.00 daripada bantuan Pejabat Pelajaran Kedah dan $6,000.00 daripada Loteri Kebajikan Masyarakat dengan jasa baik Encik Mohd. Khir Bin Johari (bekas Menteri Pelajaran Malaysia). Bangunan ini telah dibuka dengan rasminya pada 23 Ogos 1959 oleh Ketua Pelajaran Kedah mewakili Menteri Pelajaran Tanah Melayu pada masa itu.

Pada awal tahun 1968, sekolah ini telah dipinjamkan untuk menempatkan pelajar-pelajar menengah rendah dari Sekolah Menengah Siong yang belajar pada sesi petang. Penggunaan ini berakhir pada tahun 1974 apabila terbinanya Sekolah Menengah Siong.

Pada tahun 1969, sebuah bangunan baru didirikan. Bangunan baru ini dikenali sebagai sekolah rendah gred A. Pada tahun 1974 sebuah lagi bangunan didirikan dengan 4 buah bilik darjah yang dikenali sebagai blok C di bawah Rancangan Malaysia kedua dengan jasa baik Yang Berhormat Dato’ Haji Shafie bin Haji Abdullah wakil rakyat ketika itu.

Pertambahan murid-murid telah menyebabkan persekolahan dijadikan 2 sesi, iaitu pagi dan petang. Pada tahun 1974, sebuah lagi bangunan 2 tingkat mengandungi 5 bilik darjah, sebuah pejabat, bilik Guru Besar, bilik guru, dan tandas didirikan dalam Rancangan Malaysia Ketiga. Bangunan ini mula digunakan pada tahun 1979. Pada akhir tahun 1977, pertambahan murid-murid telah menyebabkan arahan membuka sekolah cawangan dibuat oleh Pengelola Sekolah-sekolah Daerah Baling di Kampung Bandar bagi menampung murid-murid dari kampung-kampung berhampiran. Pada 1 Januari 1978 sekolah cawangan ini dibuka dengan 4 buah bilik untuk darjah 1 dan 2, seramai 111 orang murid bersama 4 orang tenaga pengajar di bawah penyeliaan Encik Abdullah bin Hassan.

Pada tahun 1983 sekolah cawangan ini ditadbir oleh pentadbiran baru dan dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Kampung Bandar, Baling. Sekolah Kebangsaan Siong tetap utuh berkembang dan melakar sejarahnya tersendiri hingga mengandungi darjah 6 dengan 18 aliran dan 24 orang tenaga pengajar berbilang bangsa dan 2 orang pegawai pekeranian dan 4 orang buruh dan 1 orang jaga.

Logo dan Bendera Sekolah

Logo ini telah dicipta oleh salah seorang Guru Besar sekolah ini. Pada tahun 1985 logo ini telah diubahsuai oleh Guru Besar sekolah yang bernama Encik Mahmud bin Saad bersama guru-guru dan pekerja untuk melambangkan identiti serta kemegahan sekolah ini.



“ILMU SULUH HIDUP” menjadi tema dalam logo sekolah ini.
Ia memberi pengertian kepada warga sekolah ini betapa pentingnya
ilmu dan pelajaran dalam kehidupan manusia.


Senarai Nama Guru Besar Sekolah Kebangsaan Siong
Bil Nama Guru Besar Tahun Pentadbiran
1 Tn.Hj.Omar Bin Hj.Abu Bakar 01.02.1946 hingga 23.05.1950
2 Tn.Hj.Abdullah Bin Yaakob 24.05.1950 hingga 1954
3 Tn Hj.Basharuddin b Ariffin 1954 hingga1955
4 Tn.Hj Mahmud b Arshad 1.1.1956 hingga 22.6.1978
5 En.Mohd.Tahir b Hassan 23.6.78 hingga 31.12.1979
6 En.Ramli b Salim 1.1.1980 hingga 31.5.1980
7 Tn.Hj.Mohd.Nor b. Ambiah 13.5.1980 hingga 31.12.1980
8 En.Ridzwan b Saidin 1.1.1981 hingga 31.7.1981
9 En.Mohamad b Saad 1.3.1981hingga 1985
10 En.Osman Bin Ali 16.05.1989 hingga 01.05.1991
11 En.Abdullah Bin Shariff 01.05.1991 hingga 16.12.1991
12 En.Saad bin Ahmad 16.12.1991 hingga 01.06.1992
13 Pn.Faridah Bte Darus 01.03.1993 hingga 16.04.1994
14 Tn.Hj.Fahmi bin Jamaluddin 16.04.1994 hingga 01.02.1999
15 Tn.Hj.Shaari bin Awang 04.02.1999 hingga 16.03.2000
16 Tn.Hj.Ismail bin Lazim 16.03.2000 hingga 16.03.2003
17 Tn.Hj.Alwi bin Yaakob 16.03.2003 hingga 23.10.2005
18 Tn.Hj Kamaludin bin Man 23.10.2005 hingga 16.08.2007
19 En.Mahali bin Mahat 16.08.2007 hingga sekarang

Visi dan Misi Sekolah
Visi sekolah
“Sekolah Kebangsaan Siong akan menjadi Sekolah Cemerlang dalam Daerah
Baling pada tahun 2010”

Misi Sekolah

1. Memantapkan perancangan, pentadbiran, kepimpinan dan pemantauan yang berkualiti dalam pengurusan.
2. Mengajar dan mendidik dengan dedikasi bagi melahirkan insan cemerlang dan seimbang dunia dan akhirat.
3. Mewujudkan prasarana yang selamat, ceria dan kondusif.


Matlamat Sekolah

Murid-murid yang menamatkan pengajian di Sekolah Ke-bangsaan Siong ini akan memiliki kemahiran asas maksimum dan seimbang dari segi akademik, sahsiah, emosi dan kokurikulum. Berketrampilan dan bermotivasi serta berdaya saing dalam semua bidang. Mempunyai sikap positif terhadap cabaran dalam pendi-dikan dan mempunyai kriteria terpuji sebagai rakyat yang berguna kepada Agama, Bangsa dan Negara.

Piagam Sekolah

“Kami warga Sekolah Kebangsaan Siong, Baling dengan suci hati dan penuh sedar berikar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk:-

i. Memastikan semua kanak-kanak yang cukup umur di kawasan ini mendapat tempat
untuk belajar di sekolah ini.
ii. Memberi peluang yang sama kepada semua kanak-kanak yang belajar di sekolah
ini.
iii. Menjadikan sekolah sebagai tempat yang selamat dan selesa untuk belajar.
iv. Menyediakan peralatan dan bahan terkini dan mencukupi untuk pengajaran dan
pembelajaran.
v. Memastikan maklumat dapat disalurkan kepada pelanggan dengan cepat, tepat
dan terkini.
vi. Menentukan murid-murid dapat menguasai kemahiran asas 3M sebelum tamat
persekolahan peringkat rendah.
vii. Melayan mesra setiap pelanggan yang datang berurusan dengan cuba memenuhi
kehendak / keperluan tetamu.
viii. Bersedia menerima pandangan dan teguran yang membina dari semua pihak demi
meningkatkan prestasi dan kecemerlangan sekolah dalam semua aspek, dan
ix. Mewujudkan hubungan rapat dengan masyarakat sekitar, pertubuhan kerajaan dan
bukan kerajaan untuk keperluan dan kepentingan murid-murid sekolah ini.

Falsafah Sekolah

“Semua murid akan diberi pendidikan yang sempurna dari segi intelek, jasmani dan emosi serta memberi peluang mengembangkan bakat, minat, kemahiran dan kebolehan secara terancang oleh sekolah dan anggota masyarakat seluruhnya.”